GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Ada satu ketika, Toyota pernah dilabel sebagai jenama yang bosan dan sinonim dengan ‘ayah-ayah’. Ini kerana gergasi automotif Jepun itu pernah berhenti menghasilkan kereta sport seperti Toyota Supra, Toyota MR2, Toyota Celica dan sebagainya, tetapi lebih tertumpu untuk menghasilkan kereta yang tahan lasak seperti Toyota Camry dan juga model mesra alam yang kurang menelan petrol iaitu Toyota Prius.

Namun imej Toyota sedikit demi sedikit mula berubah selepas Akio Toyoda iaitu cicit kepada pengasas Toyota itu sendiri – Sakichi Toyoda, dilantik menjadi Presiden Toyota Motors Corporation pada 2009. Beliau yang merupakan petrolhead sejati percaya Toyota mampu naik semula sekiranya menghasilkan semula kereta-kereta yang seronok dipandu dan tidak hanya bergantung pada model-model biasa.

Hasilnya, Toyota kini bukan sahaja naik semula sebagai gergasi dalam sukan permotoran dengan menjadi kuasa besar dalam perlumbaan seperti Kejohanan Endurance Dunia (WEC) dan Kejohanan Rali Dunia (WRC) menerusi sayap perlumbaannya iaitu Gazoo Racing (GR), malah jika anda berkunjung ke bilik pameran Toyota, ia kini turut menampilkan tiga model sport sebenar yang boleh terus dibeli iaitu GR Supra, GR86 dan GR Corolla bagi menggantikan legasi Supra, MR2 dan Celica pada era 90’an.

Gelombang GR ini turut memberi kesannya terhadap perniagaan UMW Toyota Motors di Malaysia. UMWT bukan hanya menganjurkan siri perlumbaan one make Vios Challenge di Malaysia, malah ada pengedar-pengedar terpilih sudahpun mempunyai fasiliti GR Garage.

Fasiliti-fasiliti GR Garage ini bukan hanya menjual barangan gaya hidup GR, peralatan prestasi GR dan model-model GR Sport seperti Altis GR Sport, Hilux GR Sport dan Corolla Cross GR Sport, malah model-model ‘halo’ GR Supra, GR86 dan GR Corolla juga boleh dibeli di sini.

Ketiga-tiga model ini bukan model edisi terhad seperti GR Yaris di mana Malaysia hanya menerima kuota sebanyak 127-unit dari 25,000 unit yang dihasilkan seluruh dunia. Jadi anda boleh menempah ketiga-tiga model ini pengedar GR Garage di Malaysia selagi kilang-kilangnya masih meneruskan produksi.

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Baru-baru ini paultan.org menerima ketiga-tiga model GR ini serentak untuk dipandu uji, dan peluang ini kami ambil untuk merakamkan galeri istimewa menampilkan ‘tiga beradik’ GR tersebut.

Dari ketiga-tiga model berkenaan, sudah tentu GR Supra memainkan peranan sebagai ‘Abang Long’. Diperkenalkan pada 2019 iaitu 17 tahun selepas produksi model generasi keempat A80 ditamatkan, Supra yang dikenali dengan kod A90 ini dibina dengan kerjasama BMW, dan ia merupakan kembar kepada BMW Z4 G29.

Model yang kami tampilkan ini merupakan versi kemaskini yang dikenali sebagai A91, iaitu model yang diberi beberapa tingkat taraf serta menerima pilihan kotak gear manual enam-kelajuan. Namun nasib tak berapa baik, unit ujian yang kami terima ini merupakan varian dengan kotak gear ZF lapan kelajuan automatik.

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Walau bagaimanapun, ia masih menampilkan pelbagai perubahan berbanding model yang dilancarkan buat pertama kali di Malaysia pada September 2019. Enjin B58 3.0 liter enam silinder turbo pada GR Supra A91 ini menghasilkan 387 PS dan tork maksima 500 Nm, berbanding hanya 340 PS pada versi asal A90.

Suspensi adaptif GR Supra ini juga menerima talaan semula bagi memberikan pemanduan yang lebih selesa. Sementara sistem stereng bantuan kuasa elektrik serta set bushing pada bar anti-oleng pula ditala bagi membolehkan pemandu mendapat respon lebih baik pada roda.

Walaupun sudah berada lima tahun dalam pasaran, GR Supra ini masih belum menerima kemaskini kosmetik yang besar. Namun ia masih kelihatan relevan berbanding dengan model-model lebih baharu bukan?

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Beralih ke GR86, walaupun namanya ada angka ’86’, ia bukanlah model yang lahir dari salasilah sebenar AE86 yang merupakan dari ‘keturunan’ Corolla. Sebaliknya ia adalah model generasi kedua lanjutan model generasi pertama Toyota 86 (atau dikenali sebagai GT86 di Eropah) yang muncul pada 2012.

Bagi model generasi kedua yang muncul pada 2021 ini, ia masih lagi merupakan kembar kepada Subaru BRZ. Jadi ia masih lagi menggunakan casis dan enjin Boxer dari Subaru, diletakkan pada bahagian hadapan dan memacu roda belakang, bagi memberikan karekteristik pemanduan yang hampir sama seperti versi asli Toyota Levin/Sprinter Trueno AE86 dari era 80’an dahulu.

Mengambil respon pengguna generasi pertama yang mengatakan enjin 2.0 liter Toyota 86 dan Subaru BRZ tersebut tidak cukup berkuasa, GR86 dan BRZ generasi kedua ini menerima enjin dengan kapasiti lebih besar. Enjin boxer empat silinder dengan kod FA24D berkenaan menampilkan kapasiti 2.4 liter, yang kini mampu menghasilkan kuasa 237 PS pada takat 7,000 rpm dan juga tork maksima 250 Nm seawal 3,700 rpm.

Jadi dengan mudah model generasi baharu ini menghasilkan kuasa 37 PS lebih berkuasa dan tork 45 Nm lebih besar dari model generasi sebelumnya. Ia masih ditawarkan dalam versi transmisi automatik enam-kelajuan dan manual enam-kelajuan untuk pasaran Malaysia, tetapi malangnya sekali lagi kami menerima unit ujian dalam versi automatik.

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Walaupun dengan kuasa enjin lebih besar, Toyota masih mengekalkan karekter asal GR 86 ini iaitu ia mudah dipandu, memberikan rasa mekanikal penuh kepada pemandu, bahagian belakang yang mudah ‘membuang’ tetapi dalam masa yang sama ia mudah untuk dikawal bagi melakukan aksi drift.

Namun berbeza dengan model generasi terdahulu yang diberika tayar ‘eco’ bagi memberikan karekter sedemikian, jumlah kuasa yang cukup pada model generasi baharu ini membolehkan karekter sama dikekalkan walaupun ia kini menerima tayar UHP Michelin Pilot Sport 4 standard dari kilang.

Bukan hanya karekternya sahaja dikekalkan, rupa asas Toyota GR86 ini juga tidak jauh beza dari versi sebelumnya. Ia masih sebuah coupe dua pintu yang rendah memberikan rasa sebuah kereta sport sebenar. Namun rupanya disegarkan menerusi rekaan lampu hadapan dan belakang yang tidak lagi tajam dan nipis seperti dahulu, serta but belakang yang direka seolah-olah telah diberikan spoiler ekor itik.

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Akhir sekali kita beralih pula kepada GR Corolla. Berbeza dengan dua model GR tadi yang dihasilkan bersama pengeluar lain, GR Corolla merupakan produk yang dibangunkan sepenuhnya oleh Toyota. Ia mungkin diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dan kerangka badan yang sama seperti Corolla biasa, tetapi cara pemasangannya di kilang yang gelar GR Factory di Jepun yang berbeza, menjadikan asas kereta ini kuat seperti jentera perlumbaan sebenar.

Model ini masih menggunakan asas enjin yang sama seperti adiknya, GR Yaris iaitu enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo. Namun berbanding GR Yaris yang menghasilkan ‘hanya’ 261 PS (untuk model pre-facelift), enjin sama pada GR Corolla yang ditala semula ini berupaya untuk menjana 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm bagi disesuaikan dengan badannya yang lebih besar.

Ia juga menerima sistem pacuan semua roda Toyota GR Four yang sama seperti GR Yaris, membolehkan ia turut beraksi sebagai jentera rali jalan raya. Sistem berkenaan memberikan pemandu memilih agihan tork antara hadapan dan belakang dalam nisbah 30:70, 40:60 atau 50:50 yang dengan memilihnya menerusi suis putar pada konsol tengah.

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Model pasaran Malaysia ini dijual dengan spesifikasi Circuit Edition pada pasaran lain. Jadi secara standard ia sudahpun dipadankan dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang. Toyota turut memadankan tuil brek tangan manual bagi menggantikan brek parkir elektrik pada Corolla biasa – bukan sebab ‘cut cost‘, tetapi ia bagi membolehkan pemandu membuat aksi hand brake turn seperti pemandu rali sebenar.

Ketika pemandu menarik tuil brek berkenaan, tork yang mengalir ke gandar belakang turut diputuskan bagi memudahkan bahagian belakang kereta ini ‘melibas’. Dan yang paling penting, tiada pilihan kotak gear automatik pada GR Corolla, jadi hanya mereka yang benar-benar suka memandu akan membeli kereta ini.

Dan walaupun ia dilengkapi dengan ‘persenjataan’ yang begitu agresif, GR Corolla ini masih sebuah Corolla yang sangat praktikal bagi digunakan setiap hari. Ia ada pintu belakang dan juga tempat duduk belakang yang selesa untuk kanak-kanak dan orang tua, malah tempat duduk bucket hadapan juga yang sangat selesa untuk digunakan dalam perjalanan jauh.

GALERI: Barisan model ‘Tiga beradik’ Toyota Gazoo Racing di Malaysia – GR Supra, GR86 dan GR Corolla

Jadi berbanding GR Yaris, lebih banyak sebab sebenarnya mengapa anda perlu beli GR Corolla ini. Kalau nak tahu sebab-sebab lain, jemput baca ulasan pandu uji lengkap kami untuk GR Corolla ini pada PAUTAN INI.

Dari ketiga-tiga model ini, GR86 merupakan model yang paling ‘mampu milik’, dijual pada harga bermula RM295,000 untuk varian manual. GR Corolla pula dijual pada harga RM355,000, manakala GR Supra pula dijual pada harga bermula RM645,000 juga dalam versi manual. Ok, jom berangan – kalau anda ada banyak duit, model GR yang mana akan dibawa pulang dari bilik pameran Toyota?

GALERI: Toyota GR Supra

GALERI: Toyota GR86

GALERI: Toyota GR Corolla

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

Leave a Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *